Kedudukan dalam Perlembagaan Persekutuan Undang_(Negeri_Sembilan)

Kedudukan dan keistimewaan Undang selaku Raja diiktiraf dalam Perkara 71[1], Perkara 160[2] dan Perkara 181 [3] Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Negeri Sembilan mempunyai empat Undang yang mengetuai empat wilayah atau luak utama di negeri itu. Mereka ialah Undang Sungei Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol dan Undang Rembau, dikenali sebagai Undang Yang Empat.

Undang Yang Empat dianggap sebagai empat 'beradik' yang berkuasa menentukan hala tuju pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, berikutan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 mengkehendaki Yang di-Pertuan Besar perlu mendapatkan persetujuan Undang Yang Empat dalam kebanyakan kuasa budi bicara Raja di negeri berkenaan.

Peranan paling utama Undang Yang Empat ialah memilih dan menabal Yang di-Pertuan Besar mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut memperuntukkan kuasa prerogatif kepada Undang Yang Empat untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar.

Peranan utama lain bagi Undang adalah mempunyai kuasa persetujuan berhubung:-

  • pelantikan Menteri Besar,
  • menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
  • pengurniaan darjah kebesaran negeri,
  • hal ehwal agama Islam dan adat Melayu,
  • kedudukan tanah adat dan rizab Melayu dan,
  • kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain.